KUALA LUMPUR: OCBC Bank melihat tiada perubahan dalam pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sepanjang tahun 2023 dan ke 2024 walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2.9 peratus dicatatkan pada suku kedua, lebih rendah daripada jangkaan.

Ahli Ekonomi Kanan OCBC Bank untuk Asean, Lavanya Venkateswaran berkata profil pertumbuhan KDNK yang perlahan sentiasa menjadi perhatian memandangkan faktor luaran yang lemah.

"Walaupun tahap kelembapan pada suku kedua mungkin mencatatkan penurunan, kami menjangkakan BNM akan kekal fokus untuk membendung tekanan inflasi dan mengawal ketidakseimbangan kewangan," katanya dalam laporan terbaharu OCBC Bank mengenai Malaysia.

OCBC Bank telah mengunjurkan pertumbuhan suku kedua Malaysia pada 4.9 peratus dengan jangkaan konsensus pada 3.3 peratus berbanding pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama.

Lavanya berkata butiran mengenai bahagian permintaan bercampur-campur dengan sumbangan permintaan akhir domestik kepada KDNK yang lebih rendah sedikit pada 4.2 mata peratusan (pp) pada suku kedua berbanding 4.3 pp pada suku pertama.

"Sektor awam disebabkan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan yang lebih tinggi, memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pertumbuhan pada suku kedua. Khususnya sumbangan sektor awam kepada pertumbuhan meningkat kepada 0.7 pp pada suku kedua daripada negatif 0.1 pp dalam suku pertama.

"Sebaliknya, sumbangan sektor swasta susut kepada 3.4 pp pada suku kedua daripada 4.4 pp pada suku pertama apabila perbelanjaan penggunaan swasta berkurangan kepada 4.3 peratus tahun ke tahun daripada 5.9 peratus sebelum ini," katanya.

Beliau berkata kemerosotan dalam pertumbuhan eksport juga menambah kepada negatif 9.4 peratus tahun ke tahun daripada negatif 3.3 peratus pada suku pertama manakala pertumbuhan import melemah kepada negatif 9.7 peratus tahun ke tahun daripada negatif 6.5 peratus sebelumnya.

"Akibatnya, sumbangan eksport bersih bertukar negatif (- 0.1 pp) pada suku kedua daripada 2.1 pp pada suku pertama.

"Kelemahan adalah lebih jelas dari segi penawaran. Pertumbuhan dalam semua sektor utama menjadi perlahan pada suku kedua daripada suku pertama. Ini termasuk sektor pertanian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan," katanya.

OCBC Bank kini melihat pertumbuhan tahun penuh 2023 dalam julat jangkaan BNM sebanyak 4.0-5.0 peratus mencerminkan hasil separuh pertama yang tidak begitu tinggi iaitu sebanyak 4.2 peratus.

Sehubungan itu, bank itu telah mengurangkan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 untuk Malaysia kepada 4.0 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini dan mengekalkan jangkaan pertumbuhan separuh kedua pada 3.7 peratus.

"Untuk tahun 2024, kami menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK kami kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini kerana pertumbuhan global yang perlahan dijangka berterusan. Ia bagaimanapun menggariskan peningkatan dalam momentum pertumbuhan berbanding 2023," katanya.

-- BERNAMA